Salam semua...
Hari ini dah petang baru dapat mengadap komputer. Siang tadi sibuk sikit menguruskan kerja-kerja online lain untuk menambah pendapatan. Yalah.. dah namanya freelancer tu memang terpaksalah berkorban sikit masa untuk duduk di depan komputer. Anak dengan cik suami pula ke rumah kakak ipar nak menjenguk mak mentua. Disebabkan kekangan kerja, tak dapatlah saya ikut. Tapi sempat juga saya kirimkan salam dan jika ada kesempatan nanti bolehlah datang menjenguk sekejap. Alih-alih belum tengahari cik suami dah balik. Katanya mak tak ada di rumah kakak ipar tapi keluar berjalan. Haha. Shopping rayalah agaknya tu kan. Tak apalah lain kali nanti boleh datang jenguk.
Adakah anda sebahagia ini?
Bercakap tentang mak mentua ni, saya terfikir pula nak create satu post khas untuk tujuan ini. Saya teringat tentang kawan saya yang ada masalah dengan mak mentua dia, dan memang sukar sebenarnya kita nak memahami hati orang tua kan. Kadang-kadang tu benda kecik aja, tapi disebabkan jurang komunikasi dah jadi salah faham. Macam kawan saya ni, bukan dia tak berusaha untuk perbaiki salah faham tu, tapi bila dijelaskan makin tak faham pula orang tua tu. Kesian kawan saya tu sebab ada mak mentua (biarlah saya short form kan MM saja untuk mudah) yang mempunyai set minda pemikiran yang totally berbeza dengan dia. Jadi macam ayam dengan itiklah. Masing-masing tak faham maksud masing-masing.
Susah kalau selalu salah faham.
Saya pun bukanlah pandai sangat dalam hal mengambil hati MM, tapi apa yang saya boleh buat ialah saya tanya dengan kawan-kawan dan saudara-mara terdekat tentang cara yang mereka gunakan. Selepas sessi interview serba sedikit maka dapatlah saya kongsikan sikit di sini tentang tips untuk ambil hati mak mentua. Silakanlah membacanya ya...
1. Buat Drilling
Kelakar tak cara ni? Selalunya drilling ni orang buat untuk berlatih buat short hand atau apa-apa yang perlukan kemahiran. Tapi saya minta anda buat drilling pulak pada mak mentua. Biar betul ni kan? Haa... tulah. Sebenarnya, tujuan kita buat drilling ni ada sebabnya. Cuba kita perhatikan ada betulnya ke tidak kalau kita dedahkan seseorang tu dengan sesuatu secara kerap, lambat-laun dia akan suka akhirnya. Contohnya, kalau orang tu tak suka bunyi piano tapi hari-hari kita mainkan piano pada dia, lambat-laun dia akan terima juga walaupun tak seratus peratus. Nampak tak? Haa... macam tulah anda patut buat pada mak mentua anda. Jangan jemu dedahkan dia pada benda-benda yang pada asasnya dia tak suka. Biarlah dia benci dan marah tapi itu mula-mula aja. Lama-lama dia akan bosan dan mengalah, jadi terpaksalah terima walaupun berat hati. Tak mustahil satu hari nanti dia akan genuinely suka pada benda yang awalnya dia benci tu.
Aku tak suka pun kau nak 'drill' juga?
2. Tunjukkan Reaksi Yang Tenang
Walaupun anda tidak disukai oleh mak mentua anda, jangan tunjukkan perasaan anda itu. Cuba telan jauh-jauh dalam hati segala perasaan sedih, marah dan seangkatan dengannya itu. Bila berdepan, tunjuk aja muka yang manis dan cubalah jadi jujur dengan kemanisan muka itu. Maksudnya, pujuk hati dan anda akan rasa lebih mudah untuk tersenyum dengan ikhlas. Sebabnya begini. Kalau anda jumpa mak mentua dengan wajah yang merengus, anda sebenarnya akan mencetuskan satu keadaan yang negatif. Orang di sekeliling anda pun akan terasa aura negatif itu dan akan beri reaksi yang negatif juga. Jadi, paksalah diri untuk jadi positif dan anda akan dapati yang diri anda tidak akan terlalu mudah untuk jadi sensitif ataupun sentap dengan ayat-ayat mak mentua anda sekalipun ia datang dalam bentuk laser dan bom nuklear.
Bertenang habis nih...
3. Elakkan Perdebatan
Memang ada situasi di mana kita akan terasa untuk membangkang terutama sekali jika topik yang dibincangkan menyimpang jauh daripada prinsip kita. Tapi, bila dengan mak mentua kita terpaksalah beralah sekejap. Kalau kita tak setuju pun, kita hanya perlu nyatakan sekali yang kita tak setuju, kemudian diam. Jika dia bangkitkan lagi hal itu dan seolah-olah mencabar kita untuk berdebat, bolayan je. Jangan biar dia buat kita hilang kawalan diri. Tunjukkan padanya yang kita adalah seorang wanita yang penuh kesabaran dan berdaya intelek. Kita takkan melatah jika hanya dicuit sedikit saja. Mudah-mudahan dengan cara ini mak mentua anda akan mula menghormati anda. Lagipun, sabar itu separuh daripada iman, kan? Teruskan dengan sikap yang mulia ini dan paling tidak pun mak mentua anda akan malu sendiri dengan perangainya itu.
Tak moh gaduh-gaduh...
4. Sayangi dan Terima Diri Sendiri Seadanya
Naluri manusia ni memang pelik dan ajaib, tapi inilah kurnia Allah kepada kita semua. Manusia ni sebenarnya bertindak mengikut naluri dan nilai-nilai yang dah kita terapkan sejak kecil. Bila kita terima diri kita dan sayangi diri kita seadanya, orang di sekeliling kita akan sedar tentang perkara itu dan akan buat benda yang sama juga. Jika kita tak hormati diri sendiri, orang lain pun takkan cuak untuk ganggu kita dan buat hidup kita merana. Jika kita fahami dan sedari nilai yang ada pada diri kita, dan hidup berdasarkan perkara itu, walaupun orang mencerca kita, kita takkan terasa hati sangat. Kalau terasa hati pun, sekejap saja sebab kita senang memaafkan. Jadi, cubalah terima diri kita dan kita akan dapat merasai betapa hebatnya diri kita ini sebenarnya.
Saya sayang diri saya...
5. Jangan Jadikan Anak Penyebab Sengketa
Anak-anak adalah permata jiwa tapi kadang-kadang mereka juga boleh menyebabkan seribu satu salah faham sekiranya orang dewasa tak pandai bertolak ansur. Ada seorang kawan saya yang sangat tegas dalam mendidik anaknya. Dia tak beri anaknya tonton TV dan dengar radio kerana takut dapat influence yang buruk daripadanya. Satu hari tu, mak mentuanya belikan hadiah Ultraman untuk anaknya dan bukan main marah lagilah kawan saya ni. Dia sampai bertegang urat dengan mak mentuanya kerana pada anggapan dia mak mentuanya sengaja buat begitu untuk menyakitkan hati dia. Tapi bila difikirkan balik, kalau setakat belikan hadiah patung Ultraman, tak mengapa kot. Mungkin orang tua tu takde niat buruk. Mungkin tak perlulah bertegang urat tapi sekadar ingatkan mak mentuanya agar jangan belikan lagi hadiah begitu di lain kali. Entahlah saya pun bukan pandai sangat tapi itulah pendapat saya dalam hal ini.
Bertolak-ansur amalan mulia.
6. Beri Kelonggaran
Anda mungkin masih ingat masa anda kecik dulu. Pernah tak nenek anda manjakan anda terlebih sangat dan dia benarkan anda buat benda yang ibu anda cakap anda tak boleh buat? Contohnya, nenek anda belikan keropok jajan sepeket besar dan benarkan anda makan sepuasnya sambil duduk menonton TV sampai tengah malam. Itu contoh aja, pengalaman masing-masing tentu berlainan. Benda-benda macam ni kalau difikirkan balik bukannya mendatangkan keburukan yang berpanjangan. Ini hanya keseronokan bersifat sementara dan takkan buat seorang kanak-kanak jadi nakal dan tak mahu mendengar cakap ibunya lagi. Oleh itu, jika mak mentua anda buat benda yang sama pada anak anda, eloknya anda janganlah melenting. Melainkan jika dia buat begitu terlalu kerap, memang patut anda tegur dia kerana ini memang tak elok. Tapi, jika sekali dua saja, tak perlu mengamuk sakan atau ambil hati sangat kot. Berilah kelonggaran pada mak mentua anda untuk berseronok dengan cucu dia.
Nenek nak manjakan cucu... biarkan ajalah...
7. Hormati Keutamaan Mertua
Bila ada banyak sangat benda yang anda tak sependapat dengan mak mentua, mungkin anda patut fikir sedalamnya tentang di mana silapnya. Mungkin anda boleh soal diri sendiri tentang apa yang membuat mak mentua anda tak sebulu langsung dengan anda. Cuba anda fikirkan balik apa yang sebenarnya menjadi keutamaan kepada mak mentua anda. Adakah dia mengharapkan anda sekeluarga membantunya menyediakan hidangan untuk hari raya pada setiap tahun? Adakah bergambar sekeluarga pada setiap pagi raya adalah sesuatu yang tidak boleh tidak bagi mak mentua anda? Atau adakah dia mahu semua anak menantunya membelikannya hadiah pada setiap kali sambutan hari ibu? Meskipun anda tidak pernah menyambut hari ibu, sebagai contoh, elok jika anda dapat menghormati kehendak mak mentua anda dan berilah hadiah seadanya mengikut kemampuan. Memang jika difikirkan agak tak masuk akal jika kita buat sesuatu yang kita memang tak rasa ada kepentingannya, tapi jika berbuat begini boleh membahagiakan mak mentua, apa salahnya. Selagi perkara itu tak membuat hati kita sakit dan hidup kita tak merana, rasanya tak apa jika kita buat saja.
Hormatlah selagi berpatutan...
8. Fikirkan Anak Dan Suami
Dalam pada mengenang ketidakserasian anda dan mertua, ada lebih baiknya jika anda juga kenangkan anak dan suami. Mereka adalah insan-insan yang anda sayangi dan mak mentua anda juga sayangkan mereka. Anda berada dalam masalah ini pun disebabkan orang yang anda sayangi ini ada pertalian darah dengan mak mentua anda. Jadi, bak kata orang, air yang dicincang takkan putus. Oleh itu, cara yang terbaik untuk anda ialah memikirkan tentang apakah yang terbaik anda buat untuk mak mentua. Jika sebelum ini anda tak pandai buat lawak, belajarlah untuk buat kelakar sekali-sekala. Mungkin tak menjadi, tapi sekurang-kurangnya anda berusaha untuk mengubah keadaan. Kalau mak mentua tak suka, tak apalah. Cuba cara yang lain pula. Contohnya, lebih banyaklah memulakan perbualan jika anda seorang yang pendiam sebelum ini. Bila mak mentua anda mula cakap merapu dan anda terasa macam nak bagi sedas, cubalah bertahan demi suami dan anak.
Kenanglah anak dan suami.
9. Fikir Yang Baik-Baik
Ada setengah mak mentua cakapnya memang main lepas aja. Menantu yang jenis skema selalunya takkan tahan dengan mulut laser begini dan ramai yang makan hati berulam jantung. Nak diluahkan pun tak dapat sebab takut nanti keadaan jadi tambah buruk. Kesianlah selalu berendam air mata yang menantunya. Tapi, tak semestinya kita mesti rasa tertekan bila mana mak mentua kita cakap yang bukan-bukan. Maksud saya, jika dapat mertua yang begini, elok jika kita anggap saja yang fitrahnya memang begini. Kita belajar untuk terima yang dia bukan jenis yang akan cakap berlapik. Jadi, sebelum dia buka mulut lagi kita dah dapat agak apa yang dia akan cakap. Bila ini selalu berlaku, kita boleh jadikan ia sesuatu yang menghiburkan. Anggap saja ia satu bahan jenaka dan kita boleh saja ketawakan mak mentua kita di dalam hati. Yang penting, dalam hati sajalah ya. Kalau ketawakan betul-betul, mahu meroyan pulak orang tua tu nanti. Anda pula yang susah kan? Ketawakan ni pun bukan apa. Dah mertua banyak sakitkan hati kita, jadi tak salah untuk kita ubati hati sendiri dengan cara yang harmless begini.
Anggaplah semuanya indah...
Untuk kali ini cukuplah dulu kot sembilan tips untuk mengambil hati mak mentua. Diharap pada post yang seterusnya saya dapat kongsikan yang lebih menarik lagi. Semoga anda semua berpuasa hari ini dan tak lama lagi nak berbuka dah.. jadi selamat berbuka!
Sekian, Wassalam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan