Salam semua...
Hari ini saya cuma keluar sekejap pada awal pagi untuk beli bahan buat kek sempena hari jadi cik suami yang jatuh pada hari ini. Masa nak balik tadi terpandang dua tiga orang warga asing yang sedang berehat lepas penat memotong rumput. Melihat penampilan mereka, terasa belas pula di hati. Saya faham, mungkin mereka berpakaian begitu kerana bekerja dan tak mahu kotorkan pakaian mereka yang elok, tapi entah kenapa saya terasa sayu bila saya melihat air muka mereka.
Mencari rezeki dengan memotong rumput.
Bercerita tentang ini, tiba-tiba pula saya terfikir bagaimana agaknya jika hidup kita rakyat Malaysia ni rata-ratanya kais pagi makan pagi? Senario kita sekarang ni walaupun gaji kecil tapi sekurang-kurangnya ada pendapatan bulanan yang tetap. Kita tidaklah sampai di tahap kebuluran. Paling tidak pun, kita dapat makan setiap hari walaupun lauknya hanyalah sebiji telur goreng mata lembu dan nasi putih. Rezeki juga tu, alhamdulillah.
Di luar negara mereka tidak sebaik nasib kita di sini sebab ada yang sangat pokai sampai duit untuk beli makanan pun kurang daripada RM50 sebulan. Bayangkan bagaimana mereka melayari kehidupan kan?
Dompet dah kosong... canner nak buat ni...
Tapi, dalam berfikir tu saya tergerak hati untuk bincangkan ikhtiar bagaimana kita nak hidup sekiranya masalah yang sama melanda kita. Yalah, elok sediakan payung sebelum hujan. Mana tau, satu hari nanti sesuatu berlaku maka kita dapat bertahan dan masih dapat makan makanan berzat setiap hari.
Yang saya nak bincangkan di bawah ialah apa yang kita boleh buat sekiranya kita memang betul-betul tiada duit dan mata pencarian. Ok mari kita baca entri ni.
1. Sentiasa Masak Di Rumah
Memasak di rumah memang jauh lebih murah berbanding makan di luar. Perbezaannya memang sangat ketara terutama sekali jika keluarga kita besar. Kalau setakat seorang, mungkin makan di kedai lebih jimat tapi kalau dah 5,6 orang memang elok masak di rumah saja. Duit yang dapat dijimatkan tu bolehlah kita simpan atau belanjakan kepada hal yang lebih penting.
Masak di rumah lebih jimat.
2. Hidangan Sup Paling Praktikal
Sup adalah yang paling menjimatkan tetapi boleh dimakan oleh ramai orang. Anda boleh isikan seperiuk besar dengan air, didihkan dan masukkan apa-apa saja bahan yang anda ada di dapur. Buatlah ikut kreativiti anda. Jika ada tulang kaki ayam pun dah boleh masak sup yang sedap untuk seisi keluarga. Cuma tambah sedikit lobak merah dan kentang yang harganya memang murah terutamanya jika dibeli di pasaraya. Sup pun sangat berkhasiat, lazat dan boleh disimpan jika tak habis dimakan.
Sup kaki ayam... murah, mudah, lazat, berkhasiat.
3. Bela Ayam
Walaupun anda duduk di apartment, ini tidak bermakna anda tak boleh bela seekor dua ayam. Seperti yang anda tahu, ayam boleh hasilkan telur dengan kerap, oleh itu anda tak perlu lagi beli telur di kedai. Tentang makanan untuk ayam pula, anda boleh beri apa saja makanan kepadanya. Mungkin anda boleh pergi ke pasar borong dan kutip sayuran dan ikan yang penjual dah buang untuk diberikan kepada ayam. Jika anda buat begini, bermakna anda memang dapat telur percuma kerana tak payah beli makanan ayam lagi. Bila betul-betul terdesak, ayam yang ada tu pun boleh disembelih untuk dimakan.
Bela ayam, dapat telur percuma.
4. Jaga Penampilan
Walaupun anda tiada duit, jangan sesekali mengabaikan penampilan anda. Sekurang-kurangnya, pastikan pakaian anda bersih dan rapi, dan mandilah setiap hari. Jika anda tidak berkeluarga dan tiada rumah, anda boleh mandi di tandas pasaraya kerana di sini kemasukan ke tandas adalah percuma. Anda juga boleh mandi di masjid atau surau.
Penampilan elok, orang tak pandang serong.
5. Kutip Tin Kosong
Jika keadaan betul-betul mendesak, anda perlu buang perasaan malu dan kutip sajalah tin kosong agar dapat ditukarkan dengan sedikit wang. Di Malaysia rata-rata semua kedai besi buruk menerima tin kosong dan sekurang-kurangnya anda tak akan berlapar setelah dapat menjual tin ini.
Kumpul kotak pun bagus... boleh dijual.
6. Amalkan Senaman
Jangan hanya duduk di rumah dan meratapi nasib buruk anda. Pergilah keluar rumah dan ambil angin sambil berjalan-jalan di taman berdekatan dengan rumah anda. Jika anda keluar rumah, sebenarnya ada kemungkinan yang anda akan bertembung dengan peluang untuk mendapat makanan percuma. Yalah, mana tahu. Di samping itu, anda akan kekal sihat kerana dapat mengeluarkan peluh dan sekaligus mengkumuhkan toksik daripada badan.
Sambil bersenam, boleh cari peluang.
7. Tanam Sayuran Sendiri
Sekali lagi, saiz tempat tinggal anda bukanlah penghalang untuk anda bercucuk tanam. Anda boleh gunakan rak untuk menanam sayuran. Bubuh sedikit tanah hitam di dalam beg plastik dan letaklah di satu sudut di rumah anda. Pastikan ia terkena sinaran matahari sekurang-kurangnya dua tiga jam sehari, cukuplah. Anda boleh tanam ubi kentang kerana ia mengenyangkan. Anda juga boleh tanam kangkung, kailan dan bayam. Semua sayuran ini berkhasiat dan mudah dijaga.
Dalam tempat sempit pun
boleh tanam banyak sayuran.
8. Beli Barangan Hampir Tamat Tempoh
Pastikan anda tahu bila masanya pasaraya berdekatan rumah anda membuang makanan yang sudah luput tempoh atau hampir luput tempoh. Setiap kali pada waktu ini, anda perlu berada di pasaraya itu untuk mengambilnya. Pasti mereka tak akan marah pada anda kerana jika anda tak ambil pun, makanan itu memang hendak dibuang. Ada masanya pasaraya juga menjual makanan yang hampir tamat tempoh dengan harga yang amat murah. Ambil kesempatan begini dan beli dengan banyak agar dapat anda simpan. Jangan takut kerana makanan ini masih elok lagi terutamanya makanan yang diproses dalam tin, kotak dan sebagainya.
Walau tamat tempoh,
masih elok lagi ni...
9. Rajinlah Ke Surau atau Masjid
Jika anda menjadi kariah masjid, anda akan beruntung kerana pada masa tertentu pihak surau dan masjid memang menyediakan makanan percuma. Orang yang bersedekah makanan pun selalu memberinya kepada surau dan masjid untuk diagihkan, jadi inilah peluang anda untuk dapat makan percuma. Tapi, untuk lebih manis ada baiknya anda menawarkan khidmat membersihkan surau atau masjid sekali sekala. Taklah ketara sangat yang anda hanya mahu makan free.
Ketika Ramadhan setiap hari
dapat berbuka percuma di masjid.
10. Jemput Kawan Ke Rumah Untuk Potluck
Jemputlah sekumpulan kawan rapat anda untuk ke rumah dan minta mereka bawa potluck. Anda juga sediakan satu hidangan tapi biarlah yang paling murah. Setelah majlis selesai, biasanya makanan yang berlebih akan ditinggalkan saja di rumah anda sebab mereka pun malas nak bawa balik. Dan biasanya banyak juga makanan yang berlebih, kan? Inilah kesempatan yang anda tak harus lepaskan. Cepat-cepat simpan semua makanan ini agar ia elok untuk dimakan selama beberapa hari akan datang.
Sorang satu bawak hidangan,
dah penuh semeja.
11. Jangan Malu Cuci Pinggan
Jika anda betul-betul kering, jangan rasa malu untuk bertanya dengan mana-mana restoran biasa. Contohnya kedai makan siam atau restoran mamak. Beritahu pemilik kedai yang anda benar-benar sedang lapar dan anda mahu membayar harga makanan dengan menawarkan khidmat mencuci pinggan di kedai mereka. Jika anda berpakaian kemas dan bersih, tentu tiada orang yang akan pandang serong pada anda. Sentiasalah bersopan semasa berbicara dan tentu anda akan dapat makan dengan kenyang selepas siap mencuci pinggan.
Siap cuci pinggan, dapat makan free.
12. Minta Tulang Yang Mahu Dibuang Dari Kedai Menjual Daging
Cakap saja yang tulang ini anda mahu berikan kepada kucing anda. Ada kemungkinan anda akan dapat dengan percuma saja. Tulang begini jika direbus lama memang sungguh enak. Anda boleh buat sup atau makanan berkuah lain mengikut kreativiti anda. Anda boleh tambahkan kentang yang anda tanam sendiri tadi dan juga sayuran lain. Dah dapat satu hidangan yang sedap dan berkhasiat, kan?
Tak salah meminta dengan sopan.
13. Sertai Persatuan
Selalunya apabila persatuan buat perjumpaan, mereka akan hidangkan makanan. Jadi, rajin-rajinlah berpersatuan dan anda akan selalu dapat makan makanan yang sedap dan berzat.
Lepas perbincangan selalunya
mesti ada makan-makan.
14. Pergi Pasar Borong Masa Orang Nak Tutup Kedai
Jika anda pergi ke pasar borong pada masa orang nak tutup kedai, anda akan perasan yang sesetengah kedai ada meninggalkan makanan yang tak habis dijual begitu saja. Ini kerana jika dibawa pulang pun, makanan itu dah tak boleh dijual lagi. Contohnya, sayuran yang dah layu dan ikan yang dah mula berbau. Makanan ini masih boleh dimakan tapi anda kena masak dengan segera. Jika rumah anda berdekatan dengan pasar borong, anda memang untung.
Untung-untung ada orang tinggalkan
ikan atau sayur yang hampir expired.
15. Makan di Kedai Makan Rakyat
Sekarang terutamanya di bandar besar memang ada kedai makan yang menawarkan makanan percuma kepada sesiapa saja yang memerlukan. Ini adalah ehsan daripada pihak berkuasa dan juga individu yang prihatin terhadap mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli makanan. Jika anda benar-benar terdesak, tak salah anda mengunjungi tempat begini. Jika malu nak bawa satu keluarga, saya rasa mereka juga benarkan untuk bungkus makanan dan bawa pulang. Bertanyalah pada mereka dengan sopan, insyaallah ada yang baik hati kan.
Ada masa kita di bawah, tapi sentiasalah
bersyukur dengan rezeki Allah.
Pada masa kini kita tak selalu sangat dengar keluarga kita atau saudara-mara kita yang hidupnya terlalu susah sampai tak makan seharian. Tapi itu tak bermakna kita tak perlu bersedia dari awal. Mana tahu satu hari nanti kita dilanda masalah yang tak terduga kan? Sekurang-kurangnya kita tahu macam mana nak berikhtiar agar dapat kurangkan sikit bebanan sementara mencari sinar hidup baru.
Oklah sekarang dah hampir nak berbuka puasa... selamat berbuka semua dan salam sayang...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan