Hari ini agak kalut sikit sebab tadi saya dan anak pergi ke Tesco sekali lagi untuk shopping barang dapur. Banyak juga yang kami beli tapi semuanya benda keperluan harian. Tak beli nanti susah pulak asyik nak berulang ke kedai selalu sangat. Jadi lebih baiklah dibeli sekaligus untuk sebulan. Dapat menjimatkan tenaga juga begitu, kan?
Bercakap tentang penjimatan, hari ini saya nak kongsikan dengan anda tentang idea hidangan dari makanan lebihan. Saya terfikir nak buat entri ni kerana raya pun tak lama lagi. Biasanya di hari raya ni orang di sini sana semuanya buat open house. Pelbagai makanan akan dihidangkan dan biasalah, kuantitinya bukan calang-calang. Memang selalunya banyak dan berakhir dengan pembaziran. Ada juga yang pandai mengelak daripada membazir kerana mereka bekalkan pada tetamu sebelum pulang. Tapi yang tak berbuat begitu, bila banyak sangat makanan berlebih di penghujung hari, silap haribulan memang ke mulut tong sampahlah perginya.
Bila terlampau banyak sangat makanan,
dah tak tau nak makan mana satu.
Sayang sungguh makanan yang banyak-banyak itu terbuang, kan? Apa kata kita cari idea kreatif untuk cipta semula hidangan baru daripada makanan lebihan itu? Bila hidangan baru dicipta, kita tak akan terasa macam makan makanan semalam. Memang rasa berselera, insyaallah. Cubalah tengok idea di bawah dan mungkin anda juga dapat mempraktikkannya nanti.
1. Lebihan Sate
Sate dengan open house hari raya memang dah jadi sinonim sejak sekian lama. Bila ada banyak sate yang berlebih, selalunya anda buat apa ya? Bagi saya, senang je. Saya buat masak kicap. Saya tak kisah campurkan ayam dan daging untuk resepi masak kicap ni. Sebabnya ia akan jadikan hidangan tu bertambah lazat kerana air dagingnya datang daripada dua jenis dan bukan sejenis je. Cubalah buat. Pasti terangkat. Bahannya sama je macam masak kicap biasa. Kalau versi saya, begini:
a. Cabut daging sate daripada pencucuk dan satukan dalam mangkuk
b. Blender bawang besar, bawang putih dan halia. Tumiskan bahan ni sekali dengan serbuk kunyit, sesudu cili boh, serai, kulit kayu manis dan bunga lawang.
c. Bila dah harum baunya, masukkan daging dan kacau sebentar. Tambah sedikit air dan biarkan ia merenih dalam 5 minit.
d. Masukkan kicap, serbuk lada hitam, garam dan serbuk perasa. Rasa kuahnya dan tambah mana yang patut.
e. Bila kuah dah pekat, masukkan hirisan bawang besar dan kacau dalam 20 saat, kemudian tutupkan api.
f. Siap untuk dihidangkan. Makan dengan nasi panas, pasti berpeluh kesedapan!
Kecur air liur dibuatnya.
2. Lebihan Nasi Himpit
Nasi himpit pun satu lagi bahan klise dengan open house hari raya. Kalau takde benda ni, tak meriah pulak majlis. Tapi hidangan inilah yang paling banyak berlebih selalunya. Takpe... kalau ini terjadi kepada anda, jangan buang terus. Memang kita jemu makan nasi himpit berhari-hari, disebabkan itulah saya tak akan berikan idea untuk buat kuah baru untuk dimakan dengan nasi ni. Resepi ni lain sikit tapi sedap jugak. Anak saya suka betul dia makan. Saya menggelar hidangan ini rice crab nugget. Sebabnya ialah nasi himpit ni disalut dengan tepung dan digoreng, dan di tengah nasi tu ada stuffed crab stick. Cara membuatnya juga senang sangat, macam ni je.
a. Belah sikit di tengah nasi himpit supaya ada lubang untuk masukkan crab stick. Crab stick tu biarlah saiznya kecil sedikit daripada lubang supaya ia muat dengan elok dan tak pecahkan nasi.
c. Bancuh tepung gorengan cap Bistari. Bancuhan biarlah pekat supaya apabila anda celup nasi tu tepung akan melekat dengan elok dan gorengan pun jadi cantik.
c. Masukkan crab stick ke dalam nasi dan celupkan ke dalam bancuhan tepung. Masukkan ke dalam minyak panas dan goreng hingga kuning keemasan.
d. Cicah dengan sos atau mayonis dan makan panas-panas. Marvelous gitu!
Variasi membuka selera.
3. Lebihan Daging Rendang
Daging rendang yang berlebih janganlah terus disimpan ke dalam freezer. Sebabnya nanti kita lupa dia ada di situ dan hingga hujung tahun pun masih ada lagi tak berusik. Macam saya, saya buatkan serunding je. Kalau rendang ayam, saya panaskan je balik atas api dan tambah air sampai dagingnya terlerai sendiri daripada tulang. Tulang yang dah terpisah tu kita angkat dan buanglah. Kemudian daging yang tinggal tu kita kacau je sampai airnya kering. Sambil tu kita tonyoh-tonyoh dengan hujung sudip pada daging ayam tu supaya ia jadi kecil-kecil. Bila airnya dah kering tapi dagingnya masih besar-besar, jangan risau. Masukkan je ke dalam blender kering. Terus jadi halus, sekata dan cantik je rupa dia. Kalau masih lembap sikit lepas blender tu, masukkan balik ke kuali sekejap untuk betul-betul keringkan. Dah kering tu, sejukkan daging dan lepas tu bolehlah disimpan dalam bekas kedap udara. Macam ni tak payah simpan peti sejuk pun takpe. Makan dengan nasi putih pun sedap. Dimasukkan sebagai inti tambahan semasa buat piza pun boleh juga. Masukkan sikit ke dalam bancuhan jemput-jemput pun sodap.
Daging ayam disiat- siat.
Yang ini saya buat simple je. Saya buat doh piza. Saya ratakan kuah spaghetti ke atas piza. Kemudian aturkan sosej yang dihiris. Saya guntingkan mi spaghetti tu pendek-pendek dan taburkan ke serata permukaan piza. Tambahkan tomato cincang, bawang cincang dan brokoli cincang kalau mahu. Kemudian taruk kuah spaghetti tu sekali lagi dan layer terakhir taburkan keju yang disagat. Sedap, saya suka. Resepi ni mudah, murah dan lazat.
Bila dah siap, boleh makan sepuas hati.
Tentang kuih-muih ni saya tak berapa nak ada idea sangat. Tapi nasib baiklah saya ada bela ikan keli kat dalam kolam di depan rumah. Selalunya kalau nasi yang tak habis berbaki dari malam sebelumnya, saya humban aje ke dalam kolam. Ikan keli ni dia makan apa saja dan itulah untungnya bila kita bela dia. Tak perlu pening sangat nak bagi makan sebab setiap hari akan ada aje makanan berlebih, jadi tak membazir sebab dapat digunakan untuk makanan ikan.
Ikan oh ikan... masa untuk makan!
Nampaknya saya berhenti setakat ini dulu ya. Di pos seterusnya saya akan sajikan lagi topik yang lebih best ok. Salam sayang semua dan hepi sokmo!